May 27, 2008

Bukit Tinggi terletak dalam zon sesar bumi - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Mei – Kawasan Bukit Tinggi di Pahang yang terletak dalam zon sesar di mana lapisan bumi bergeser antara satu sama lain menjadi punca kejadian gempa kecil kerap berlaku di kawasan itu termasuk pagi semalam.
Pensyarah Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, lokasi itu menyebabkan Bukit Tinggi mudah menerima kesan daripada gempa bumi di negara jiran.
“Walaupun kawasan Bukit Tinggi terletak jauh dari China dan Indonesia, tetapi ia masih boleh menerima gegaran kuat di daratan berbanding kawasan lain di Malaysia.
“Ia juga boleh dikaitkan dengan tekanan persekitaran yang kuat di Asia Pasifik,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Zon sesar ialah celahan pada kerak bumi yang berada di perbatasan antara dua lempeng tektonik dan kejadian gempa dipengaruhi pergerakan batuan serta lempeng pada sesar berkenaan.
Sejak November tahun lalu, sebanyak 21 gempa bumi kecil telah menggegarkan kawasan Bukit Tinggi dengan gegaran terbaru berukuran 3.1 pada skala Richter berlaku pukul 9.36 pagi semalam.
Mengulas kekerapan kejadian gempa bumi dan gegaran di kawasan itu sejak kebelakangan ini, Mohamad Ali berkata, perbuatan manusia turut boleh dikaitkan dengan kejadian alam itu akhir-akhir ini.
“Pembinaan empangan dan bangunan tinggi turut memberi kesan kepada tekanan bumi,’’ katanya sambil memberi contoh empangan China yang terbesar di dunia menjadi antara faktor utama berlakunya gempa bumi di negara itu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia, Mohd. Rosaidi Che Abas berkata, kekerapan kejadian gempa bumi dan geseran di kawasan Bukit Tinggi telah berkurangan berbanding sebelum ini.
Katanya, batu-batan kawasan itu sedang mengalami proses penstabilan dan ia mungkin membebaskannya daripada ancaman bencana.
“Sejak awal lagi, Malaysia adalah kawasan yang bebas daripada ancaman bencana alam. Tetapi sejak kejadian tsunami pada 2004, tekanan tektonik mula aktif di negara ini dan ia menyebabkan kekerapan kejadian gempa bumi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu kini semakin stabil.
“Bahagian Geologi jabatan ini turut memantau keadaan di seluruh negara khususnya di kawasan Bukit Tinggi pada setiap hari,”

0 comments:

 

Template by Best Web Hosting